Monday, December 27, 2010

Maksud Riba

(Gambar hiasan: Buku karangan Ustaz Zaharuddin Abd.Rahman)

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Assalamualaikum w.b.t


Topik berkaitan riba merupakan satu topik yang sukar untuk dibincangkan kerana riba merupakan antara perkara yang terselindung di sebalik urusan jualbeli dan juga perniagaan. Malah riba juga mampu menyelinap masuk dalam urusan hutang dan pinjaman. Di dalam Tafsir Ibnu Kathir dalam tafsir surah Al-Baqarah ada mengambil kata-kata khalifah Islam Umar bin Al-Khattab yang menyebut:


"Saya berharap Rasulullah s.a.w. menjelaskan 3 perkara buat umatnya, supaya dapat kita memahaminya dari pemahaman baginda:



1] Pewarisan harta cucu kepada datuknya

2] 'Kalalah' iaitu berkaitan harta mereka yang ketika meninggal tidak mempunyai waris langsung

3] dan beberapa jenis riba."


Umar bin Al-Khattab merujuk kepada beberapa jenis transaksi yang tak pasti samada berlaku riba atau tidak dalam transaksi tersebut.


Untuk memahami apa itu riba mari kita lihat definisi riba dari beberapa kitab...


Dalam Tafsir ' Ahkamul Quran " :
Riba dari segi bahasa bermaksud “ lebihan ”dalam bahasa Arab.

Qadi Abu Bakr ibn al-Arabi, didalam Tafsir “Ahkamul Qur’an” mendefinasikan riba sebagai: setiap lebihan antara nilai barang yang diberi dan nilai yang diterima. Lebihan ini merujuk kepada dua perkara :

1] setiap lebihan, manfaat hasil dari penambahan yang tidak ketentuan dalam timbangan dan ukuran.
2] setiap lebihan, manfaat dari ketidaktentuan yang datang dari penangguhan.

Kitab Bidayatul Mujtahid :

Ibn Rushd berkata: “Fuqahak bersependapat bahawa riba didalam jual beli ada dua jenis : penangguhan ( nasi’ah ) dan lebihan yang ditetapkan (tafadul)” Dengan maksud, ada dua jenis riba:

1] Riba al-Fadl (lebihan dalam penambahan )
2] Riba al-Nasiah (lebihan melalui penangguhan)

Riba al-fadl merujuk kepada lebihan kuantiti/berat. Riba al-nasiah merujuk kepada masa yakni penangguhan.

Menurut kitab Fiqh Syafii oleh Ustaz H. Idris Ahmad S.H. :

Riba nasiah itu ialah melebihkan pembayaran barang yang dipertukarkan, diperjualbelikan atau dihutangkan, kerana dikreditkan waktu membayarnya baik yang sama jenisnya mahupun tidak.

Riba ini dibuat oleh kaum Jahiliah sebelum datang agama Islam.

Bila seseorang dari mereka meminjamkan harta kepada orang lain hingga waktu yang dijanjikan, dengan syarat bahawa ia harus menerima dari si peminjam itu pembayaran lain menurut kadar yang ditentukan tiap-tiap bulan, sedang wang yang dipinjamkan semula tetap sebanyak itu juga dan tidak dikurangi. Bila waktu yang dijanjikan tiba, harta yang dipinjamkan mesti dipulangkan semula menurut asalnya. Jika peminjam belum dapat mengembalikan modal pinjaman dan diminta tangguh, maka syarat lain ditambah iaitu modal pinjaman yang harus dikembalikan lebih dari asal. (atau dalam situasi sekarang dipanggil interest dan berbagai-bagai istilah lagi).

Lalu turunlah ayat yang pertama dalam hal mengharamkan riba:

"Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta riba secara berlipat ganda dan takutlah kepada Allah mudah-mudahan kamu menang." (surah Ali-Imran ayat 130)

Riba fadhal pula berlebih salah satu dua pertukaran yang diperjualbelikan, kalau yang diperjualbelikan itu sejenis. Timbangannya pada barang yang ditimbang, takarannya pada barang yang ditakar atau ukurannya pada barang yang diukur.

2 klasifikasi di atas merupakan 2 jenis riba asas yang berlaku di sekeliling kita. Jenis riba yang lain boleh diklasifikasikan sebagai riba fadhal/fadl dan riba nasiah.

InshaAllah akan disambung lagi...


Tulisan ini bukanlah merupakan tulisan ilmiah dan tujuan penulisan ini hanya untuk membuka minda pembaca terutama dari golongan pelajar khususnya warga csmu yang akan memasuki alam pekerjaan dan terlibat secara langsung dalam hal pengurusan wang dan harta. Adalah tidak molek jika seorang Islam itu mengerjakan suatu perkara sedangkan dia tiada pengetahuan dari segi Islam dalam mengerjakan perkara tersebut. Mudahlah musuh-musuh Islam meracuni pemikiran dia apabila dia mengerjakan suatu perkara tanpa menjadikan Islam sebagai asasnya. Penulis bukanlah dari lepasan jurusan agama dan tulisan ini hanyalah bertujuan sebagai pembuka minda dan pencetus reaksi untuk mendalami ilmu agama. Sila rujuk kepada ustaz-ustaz dan mereka yang ahli untuk memastikan agar tidak tersesat. Sekiranya ada kesalahan dalam artikel bolehlah menghubungi penulis untuk memperbetulkan dan sertakan sekali sumber rujukan. Mengambil kata-kata Dr. Zakir Naik "Taqlid itu hak Allah dan Rasulnya, janganlah kamu bertaqlid selain Allah dan Rasulnya, janganlah kamu bertaqlid selain Allah dan Rasulnya, janganlah kamu bertaqlid selain Allah dan Rasulnya."

satu Inovasi...satu Reformasi

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum.Sy nk tanye sikit bg kes ni..Contohnya bank A dah tetapkan yg setiap tahun dividen yang akan diberikan kpd pelanggan adalah 17.5%. Nilai dividen ini adalah terjamin dan tidak berubah. Ini adalah simpanan bukannya pinjaman. Soalan sy di sini, adakah konsep pemberian dividen yg diberikan oleh bank ini adalah riba?sedangkan bank tidak mengenakan interest(seperti mana apabila mbuat loan) sebaliknya memberikan keuntungan(dividen) kpd pelanggan. Harap dpt mbantu. Terima kasih.


Visitor Map