Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Assalamualaikum w.b.t
InshaAllah post ini merupakan sambungan buat post lepas dalam menyatakan tentang riba http://mukminpro.blogspot.com/2010/12/maksud-riba.html .
Merujuk kepada hadis nabi s.a.w. :
Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Menjual (menukar) emas dengan emas mesti sama timbangannya, sama nilainya (kualitinya), dan menjual perak dengan perak mesti sama timbangannya, sama nilainya dan sesiapa yang menambah dan meminta lebih sesungguhnya itu telah menjadi riba. Dan pada riwayat lain berbunyi: Menjual tamar dengan tamar, dan menjual gandum dengan gandum, dan syair dengan syair, dan garam dengan garam, mesti sama nilainya, sama timbang terima, maka sesiapa yang menambah dan minta tambah, maka sesungguhnya telah jadi riba, melainkan barang-barang yang berlainan jenisnya.” (Riwayat Muslim)
Barang-barang yang disebut dalam hadis ini antaranya emas, perak, tamar, gandum, syair (sejenis roti yang banyak fiber) dan garam adalah barang-barang ribawi (iaitu barang-barang yang boleh mendatangkan riba).
Di dalam kitab Fathul Muin menerangkan:
Al bai'
Dari segi bahasa ialah 'jual beli' iaitu menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain. Menurut syarak ialah menukar harta dengan harta pada wajah tertentu.
Jual beli riba ( Bai' ribawi)
Jual beli riba hanya terjadi pada dua hal:
1) Makanan: seperti gandum, sya'ir, kurma , anggur, garam, jagung, beras (di Malaysia) dan sebagainya.
2) Nuqud (alat tukar bagi urusan jual beli dan perniagaan): Emas dan perak (walaupun setelah diukir seperti perhiasan emas dan perak)
Merujuk kepada hadis di atas riba jenis fadhal akan berlaku sekiranya barang-barang ribawi yang sama jenis (beras sama beras, emas sama emas, tamar sama tamar dan sebagainya) ditukar secara tidak sama kuantiti atau tidak sama kualiti. Sebagai contoh 10 kg beras thailand apabila ditukar dengan 9 kg beras malaysia sudah wujud riba dalam urusan muamalah ini (beras sama beras - sebagai contoh sahaja). Di sinilah penambahan 1 kg beras thailand berlaku dan disebut riba jenis fadhal.
Dalam hal pertukaran barang-barang ribawi yang tidak sama jenisnya (perak sama beras, atau tamar sama beras) tidaklah disyaratkan untuk sama kuantiti. Sebagai contoh 5 kg beras thailand ditukar dengan 1 dirham (bersamaan 15 RM) tidaklah wujud riba di sini walaupun harga semasa 5 kg beras thailand tidaklah bersamaan dengan 1 dirham.
Riba jenis nasiah pula merujuk kepada penangguhan di dalam hal jual beli ribawi. Merujuk kepada hadis di atas jual beli ribawi mesti berlaku serentak dalam satu masa. Tidak boleh berlaku penangguhan ketika urusan serah terima barang ribawi tersebut. Sebagai contoh 5 kg beras thailand ditukar dengan 1 dirham secara berhadap-hadapan, yang nampak dengan yang nampak (ain dengan ain) beserta akad dalam satu majlis. Jika pembeli beras thailand telah menyerahkan 1 dirham tadi kepada penjual beras thailand, dan penjual pergi ke stor di belakang kedai untuk mengambil 5 kg beras thailand tadi sudah wujud riba nasiah kerana berlaku penangguhan dalam majlis serah terima seperti dalam peristiwa berikut yang ditulis oleh Imam Malik dalam 'Al-Muwatta':
’Yahya meriwayatkan kepada saya dari Malik dari ‘Abdullah ibn Dinar dari ‘Abdullah ibn ‘Umar bahawa ‘Umar ibn al-Khattab telah berkata “ Janganlah kamu menjual emas dengan emas kecuali dengan seimbang , janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain, janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali dengan seimbang dan, janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain dan janganlah kamu menjual sesuatu yang tidak ada dengan suatu yang ada (fizikal). Jika seseorang meminta kamu menunggu untuk membuat pembayaran sehingga dia kembali ke rumahnya , janganlah kamu tinggalkannya, aku bimbang rama’ atas kamu. Rama’ ialah riba.
Riba nasiah juga boleh berlaku kepada pertukaran barang-barang ribawi sejenis jika adanya penangguhan dalam majlis serah terima.
Maka lahirlah konsep jual beli barang ribawi (dari kitab Fiqh Syafii) iaitu emas sama emas, tangan sama tangan, seimbang pada satu masa.
Memahami konsep riba nasiah ini iaitu sesuatu urusan jual beli barang ribawi mestilah tidak berlaku penangguhan, dan mesti ada dengan ada (ain dengan ain) bukannya ada dengan tiada atau tiada dengan tiada (ain dengan dain/dain dengan dain) adalah sangat penting untuk memahami persoalan yang wujud tentang penggunaan matawang kertas sejak perjanjian Bretton Woods Agreement pada tahun 1944 (diharap pembaca membuat rujukan sendiri apa isi kandungan perjanjian ini kerana penting untuk mengetahui status matawang kertas yang kita gunakan hari ini, inshaAllah ada kesempatan penulis akan menulis tentang sejarah matawang kertas) hingga ke hari ini, adakah matawang kertas itu merupakan suatu benda yang ada ataupun tiada?
Nilai yang diletakkan pada matawang kertas itu melambangkan nilai sebenar kertas itu ataupun apa?
Apa hukumnya jika kita terus berurusan dengan menggunakan matawang kertas di dalam setiap urusan jual beli dan perniagaan sekiranya matawang kertas itu diklasifikasikan sebagai suatu benda yang tiada?
Sekiranya kita mengambil konsep darurat dan juga mengambil kira matawang kertas itu digunapakai secara menyeluruh oleh umat manusia... sekarang sudah wujud kembali koin-koin dinar dan dirham yang ditempa dan digunakan di beberapa tempat di dunia malah terdapat website untuk memudahkan urusan membeli koin-koin dinar dan dirham https://www.e-dinar.com/cgi/shop.cgi maka adakah hukum darurat itu dimansuhkan?
Kepada pembaca yang inginkan jawapan segera kepada persoalan yang mengaitkan matawang kertas dan riba jenis nasiah, fahamilah sejarah penggunaan matawang kertas yang wujud akibat perjanjian Bretton Woods Agreement pada tahun 1944, kaitannya dengan emas dan perak, hutang yang disandarkan kepada matawang kertas dan istilah duit fiat (fiat money). Selepas itu rujuklah di dalam Al-Quran dan hadis yang menunjukkan emas dan perak sebagai tukaran asal bagi urusan jualbeli dan perniagaan serta emas dan perak itu merupakan satu fitrah yang mendatangkan kesukaan kepada umat manusia.
Imam Malik r.a. di dalam 'Al-Muwatta' menulis:
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahawa ia mendengar tanda terima/resit(sukukun) dibahagikan kepada penduduk di masa Marwan ibn al-Hakam untuk barang di pasar al-Jar. Penduduk membeli dan menjual resit di antara mereka sebelum mereka mengambil barangnya. Zayd ibn Tsabit bersama seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pergi menghadap Marwan ibn al-Hakam dan berkata, "Marwan! Apakah engkau menghalalkan Riba?" Ia menjawab, "Naudzubillah! Apakah itu?" Ia berkata, "Resit-resit ini yang dipergunakan penduduk untuk berjual-beli sebelum menerima barangnya." Marwan kemudian mengirim penjaga untuk mengikuti mereka dan mengambilnya dari penduduk kemudian mengembalikannya pada pemilik asalnya.
InshaAllah akan disambung lagi...
Tulisan ini bukanlah merupakan tulisan ilmiah dan tujuan penulisan ini hanya untuk membuka minda pembaca terutama dari golongan pelajar khususnya warga csmu yang akan memasuki alam pekerjaan dan terlibat secara langsung dalam hal pengurusan wang dan harta. Adalah tidak molek jika seorang Islam itu mengerjakan suatu perkara sedangkan dia tiada pengetahuan dari segi Islam dalam mengerjakan perkara tersebut. Mudahlah musuh-musuh Islam meracuni pemikiran dia apabila dia mengerjakan suatu perkara tanpa menjadikan Islam sebagai asasnya. Penulis bukanlah dari lepasan jurusan agama dan tulisan ini hanyalah bertujuan sebagai pembuka minda dan pencetus reaksi untuk mendalami ilmu agama. Sila rujuk kepada ustaz-ustaz dan mereka yang ahli untuk memastikan agar tidak tersesat. Sekiranya ada kesalahan dalam artikel bolehlah menghubungi penulis untuk memperbetulkan dan sertakan sekali sumber rujukan. Mengambil kata-kata Dr. Zakir Naik "Taqlid itu hak Allah dan Rasulnya, janganlah kamu bertaqlid selain Allah dan Rasulnya, janganlah kamu bertaqlid selain Allah dan Rasulnya, janganlah kamu bertaqlid selain Allah dan Rasulnya."
satu Inovasi...satu Reformasi
No comments:
Post a Comment